Seorang pekerja pembersihan maut selepas motosikal ditunggang kemalangan di Jalan Masai-Kong Kong, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Seorang pekerja pembersihan asing warga Bangladesh maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan di Jalan Masai-Kong Kong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 9.50 pagi melibatkan tiga buah motosikal jenis Honda Wave, Modenas dan Yamaha 135LC.

Beliau memberitahu, Honda Wave ditunggang mangsa manakala Modenas ditunggang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan Yamaha 135 LC ditunggang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

“Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 42 tahun sedang menunggang Honda Wave dari arah pekan Masai ke Kota Masai. Tiba-tiba mangsa hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan.

“Kemudian motosikal mangsa melanggar sisi bahagian kanan Modenas menyebabkan mangsa terjatuh atas jalan kemudian dilanggar Yamaha 135LC yang tidak sempat membrek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk kiri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, dua lagi penunggang terbabit hanya mengalami kecederaan ringan, semua mangsa dibawa ke Hospital Pasir Gudang untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya meminta saksi kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast