KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dalam aspek pemuliharaan karya seni bernilai tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sebagai tanda aras (benchmark) baharu.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia bukan sahaja langkah progresif bagi menjaga integriti fizikal barang kes, malah mencerminkan kesungguhan negara dalam mengurus aset yang dirampas secara profesional dan berpiawaian tinggi.
Menurut beliau, cadangan mempamerkan karya seni itu kepada umum selepas proses perundangan selesai juga wajar disokong kerana mampu menjadi instrumen pendidikan awam tentang bahaya rasuah dan ketirisan aset negara.

Namun, jelasnya, MCW menegaskan bahawa aspek ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh diketepikan dan eberapa perkara perlu diberi perhatian serius.
Antaranya, kata beliau, berkaitan pelaporan berkala kepada awam berkenaan status pemilikan, nilai semasa dan perkembangan kes perlucutan hak yang perlu dikongsi secara telus bagi mengelakkan sebarang persepsi salah.
Selain itu, ujarnya, penilaian karya seni perlu disahkan oleh pihak bebas bagi memastikan tiada manipulasi nilai atau konflik kepentingan.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan satu garis panduan nasional khusus bagi pengurusan aset rampasan berprofil tinggi termasuk seni, hartanah dan aset luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jais, MCW percaya kejayaan sebenar dalam kes seperti itu bukan sekadar merampas aset, tetapi memastikan ia diurus dengan penuh integriti, dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk manfaat dan dijadikan pengajaran kepada generasi akan datang.
“MCW menegaskan bahawa setiap aset yang berjaya diselamatkan adalah simbol kemenangan rakyat Malaysia terhadap rasuah dan tanggungjawab kita bersama adalah memastikan kemenangan ini tidak disia-siakan oleh kelemahan tadbir urus,” katanya.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan empat karya seni bernilai tinggi berjaya dibawa pulang ke Malaysia dan ditempatkan dengan selamat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut SPRM, karya-karya seni itu merupakan sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1MDB hasil usaha berterusan kerajaan melalui pendekatan bersepadu melibatkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa.
Menurutnya, nilai keseluruhan karya seni tersebut dianggarkan AS$198,125 (kira-kira RM786,556.25), melibatkan hasil karya artis terkenal dunia.
Jelasnya, ia termasuk Joan Miró – Composition (1953); Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934); Balthus – Etude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961). – MalaysiaGazette
















