petrol
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan 31 kes yang melibatkan kenderaan pendaftaran asing mengisi RON 95 sejak 1 April lalu.

Menurut Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam, perbezaan harga RON95 yang jauh lebih rendah berbanding di negara mereka menjadi punca mengisi minyak bersubsidi tersebut.

“Ada juga pemilik kenderaan pendaftaran asing yang memberi alasan tidak tahu stesen minyak yang menjual RON97 ketika ditahan mengisi minyak RON95.

“Berkuat kuasa pada 1 April lalu, KPDN telah menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing. Penguatkuasaan hukuman boleh dikenakan terhadap pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

JPJ melakukan operasi bersepadu bersama-sama KPDN di susur keluar BSI, Bukit Chagar, Johor Bahru, malam tadi

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP)VEP bersama-sama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata, dalam keadaan ketegangan di Asia Barat sekarang, negara perlu memastikan kecukupan bekalan terutamanya RON95 yang diperuntukkan kepada warganegara Malaysia sahaja.

Katanya, jalinan kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut akan memudahkan lagi usaha mengesan pihak yang melakukan kesalahan tersebut seterusnya mengambil tindakan undang-undang.

KPDN katanya, mula memperkenalkan pendekatan baharu iaitu penggunaan kad kredit dan kad debit asing tidak lagi boleh digunakan di terminal pam minyak layan diri di mana-mana stesen minyak.

“Proses tersebut masih lagi berlaku, ada lagi beberapa buah syarikat minyak yang masih lagi dalam proses konfigurasi sistem masing-masing, kita akan terus pantau perkara ini secara lebih dekat.

“Dalam keadaan kita memastikan kecekapan penguatkuasaan, tidak ada lagi ruang untuk kenderaan asing ini untuk mendapatkan bekalan secara tidak sah di negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kes penyalahgunaan minyak bersubsidi di Johor, katanya, hanya satu kes pada 10 April lalu dan kertas siasatan berkaitan kes tersebut kini berada dalam pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya.

“Jadi, kita akan tunggu keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya sama ada akan dibenarkan dituduh di mahkamah, individu terbabit boleh didenda sehingga RM1 juta dan juga kompaun,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast