JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 5,984 saman bernilai RM2.19 juta dalam operasi Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura sejak 1 Julai 2025 sehingga Khamis lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 82,987 kenderaan Singapura diperiksa dalam tempoh itu di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta Taman Daya, di sini.
“Tindakan mengeluarkan notis saman kepada pemilik atau pemandu kenderaan persendirian individu dan persendirian syarikat yang tidak mendaftar VEP atau VEP tamat tempoh serta kenderaan masih berstatus pradaftar.
“Bagi kenderaan berkenaan, tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia, ini selaras Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi Penguatkuasaan VEP bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar di sini malam tadi.
Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.
Menurut Aedy Fadly, sebanyak 391,007 tag RFID telah dikeluarkan sejak Khamis lalu, dengan status pemasangan tag yang aktif melibatkan 322,048 kenderaan persendirian individu manakala 14,771 kenderaan belum aktif.
Bagi kendetaan persendirian syarikat pula katanya, sebanyak 47,496 tag RFID aktif manakala 7,792 tag lagi tidak aktif.
Tambahnya, pelaksanaan VEP ini diperkasa secara menyeluruh bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan kenderaan berpendaftaran asing di samping mengekang ketirisan subsidi bahan api negara khususnya petrol RON95.
“Kerjasama strategik ini juga turut melibatkan integrasi sistem VEP dan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang membolehkan pengesanan secara masa nyata terhadap kenderaan asing.
“Melalui integrasi ini, data kenderaan termasuk profil pemilik dan rekod perjalanan dapat dikongsi secara bersepadu antara agensi sekali gus meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan keupayaan mengesan penyalahgunaan subsidi,” ujarnya.
Katanya, operasi bersepadu antara JPJ dan KPDN akan lebih agresif lagi untuk mengekang kenderaan-kenderaan asing daripada menyalahgunakan permit untuk masuk ke negara akan diperluaskan ke sempadan negara di sebelah Utara.- MalaysiaGazette
JPJ melakukan operasi bersepadu bersama KPDN di susur keluar BSI, Bukit Chagar, Johor Bahru, malam tadi
















