KLUANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan menyalurkan peruntukan RM2.5 juta untuk melaksana projek pembangunan infrastruktur dan sosial di Kampung Orang Asli Berasau di sini.
Menurutnya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), kementerian itu dipertanggungjawabkan melaksanakan projek berkenaan.
“Antara projek yang dilaksanakan termasuk penyediaan bekalan elektrik 24 jam menggunakan sistem solar serta pembinaan balai raya berbumbung solar bagi kegunaan penduduk setempat.
“Sistem solar berkapasiti lebih 50 kilowatt puncak dengan sistem storan tenaga 516 kilowatt jam itu mampu membekalkan elektrik berterusan kepada lebih 20 rumah selain balai raya kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Orang Asli Berasau, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Katanya, projek itu juga merupakan antara inisiatif pertama dilaksanakan di kawasan kampung Orang Asli yang terletak jauh dari jalan utama, sekali gus menjadi model kepada kampung Orang Asli lain.
Ujarnya lagi, menerusi kemudahan itu, penduduk bukan sahaja mendapat bekalan elektrik yang stabil, malah ruang komuniti dapat dimanfaatkan bagi aktiviti sosial dan pembangunan masyarakat.
Ujarnya, penggunaan tenaga solar sebagai tenaga bersih dan lestari bukan sahaja meningkatkan keselesaan aktiviti harian penduduk Kampung Orang Asli Berasau, malah mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional di kawasan luar bandar.
“Projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan prinsip keadilan sosial dapat dinikmati secara sama rata oleh masyarakat luar bandar, selain menggarap aspek keterangkuman dan kelestarian selaras dengan kerangka Malaysia Madani,” katanya.- MalaysiaGazette
Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Projek Kampung Angkat Madan di Kampung Orang Asli Berasau, Kluang, hari ini.
















