KUALA LUMPUR – Perasmian terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan hari ini menjadi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur pengangkutan udara negara dengan kapasiti kini meningkat kepada empat juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta sebelum ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dengan kehadiran Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook serta kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, penaiktarafan terminal berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam membangunkan infrastruktur secara inklusif, mampan dan berimpak tinggi, selaras dengan kerangka Ekonomi Madani yang memacu pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan di Pantai Timur.
Katanya, terminal yang diperluaskan hampir tiga kali ganda daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi itu dilihat signifikan berikutan peningkatan jumlah penumpang yang telah melepasi kapasiti asal, khususnya bagi laluan strategik domestik seperti Kota Bharu–Kuala Lumpur.
“Antara penambahbaikan utama termasuk pengasingan aras perlepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang, penambahan kaunter daftar masuk serta kemudahan pengendalian bagasi, penyediaan parkir bertingkat sebanyak 1,300 lot dan susun atur trafik lebih efisien dengan lorong khas untuk bas, teksi serta e-hailing,” katanya.
Selain itu, landasan turut dipanjangkan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter bagi membolehkan operasi pesawat moden seperti Boeing 737 MAX dan Airbus A321neo, sekaligus membuka peluang penerbangan antarabangsa jarak dekat serta memperluas jaringan serantau.
Ketika ini, LTSIP mengendalikan beberapa laluan domestik utama dan satu laluan antarabangsa ke Singapura, dengan potensi peluasan ke destinasi lain dalam masa terdekat.
MOT berkata, pembangunan ini selari dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat disamping memastikan kemudahan pengangkutan udara lebih selesa, selamat dan efisien.
Kerajaan menegaskan, komitmen berterusan untuk memperkasa rangkaian pengangkutan udara negara melalui projek strategik di seluruh Malaysia bagi mengekalkan daya saing sebagai hab penerbangan serantau. – MalaysiaGazette
















