KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berharap Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu yang dinaik taraf bukan sahaja dapat memberi lebih keselesaan dan pilihan penerbangan kepada rakyat Kelantan.
Malah, ujarnya, kemudahan baharu itu turut membuka peluang kepada lebih banyak aktiviti ekonomi penerbangan di Kota Bharu.
Menurutnya, ia termasuk daripada pertambahan laluan baharu sehinggalah kepada peluang pelaburan dan pelancongan yang lebih luas.
“Kerajaan akan terus komited dalam menaik taraf infrastruktur lapangan terbang di seluruh negara, kerana jaringan penerbangan yang kukuh bukan sekadar kemudahan rakyat, tetapi tunggak penting bagi sebuah negara perdagangan yang bercita-cita untuk kekal relevan dan berdaya saing di antarabangsa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anthony Loke melahirkan rasa syukur kerana dapat menyaksikan sendiri siapnya penaiktarafan LTSIP itu.
“Kehadiran YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merasmikan LTSIP mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi negara terhadap pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Kelantan,” katanya.
Semalam, Anwar ketika berucap merasmikan terminal baharu LTSIP itu berkata, projek itu bukan sahaja penting untuk Kelantan, malah berpotensi menjadi hab serantau menghubungkan Kelantan dengan Selatan Thailand serta destinasi lain seperti Singapura, Jakarta dan Bangkok.
Beliau turut menegaskan Kelantan mempunyai potensi besar dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelancongan dengan negeri itu tidak sepatutnya terus terpinggir hanya kerana perbezaan politik.
Projek penaiktarafan dan pembesaran LTSIP membabitkan kos RM440 juta dan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Hasil penaiktarafan itu, keluasan terminal meningkat daripada 12,000 kepada 36,000 meter persegi.
Ruang parkir pesawat bertambah daripada lima kepada 11, manakala parkir kenderaan ditingkatkan daripada sekitar 450 lot kepada 1,300 lot.
Terminal baharu itu kini mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun berbanding hanya 1.5 juta sebelum ini.
Ia juga mempunyai lebih 20 kaunter penerbangan, laluan khas teksi, parkir bertingkat, balai bomba dan sistem tanpa tunai. – MalaysiaGazette
















