Gambar Jabatan Agama Islam Pahang

TEMERLOH – Seramai 36 lelaki ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kerana disyaki tidak menunaikan solat Jumaat, di sini kelmarin.

JAIP dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua mereka ditahan ketika serbuan penguatkuasanya di beberapa pusat snuker dan premis di sekitar daerah ini menerusi Operasi Cegah Jenayah Syariah Siri 3/2026.

“Kesemua individu tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013 dan telah diarahkan untuk hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh bagi tujuan siasatan lanjut.

“Operasi dijalankan seramai 33 penguat kuasa agama ke lokasi sasaran melibatkan beberapa kawasan tumpuan awam serta premis penginapan,” katanya.

Sementara itu, JAIP turut memaklumkan penahanan sepasang lelaki dan wanita bukan mahram di sebuah hotel kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 32 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013 iaitu berkhalwat.

Pasangan tersebut, katanya, telah dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Temerloh.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 19 (Tidak Menunaikan Solat Jumaat), jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi Seksyen 32 (Khalwat), jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

JAIP memberitahu akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan pencegahan secara berterusan sebagai sebahagian daripada komitmen dalam memelihara kesejahteraan ummah dan keharmonian masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast