Gambar : Briged Tenggara PGA

KUANTAN – Seramai enam lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemindahan bahan batuan dipercayai pasir laut secara tidak sah di sekitar pelabuhan Kuantan, Gebeng di sini.

Turut dirampas, sebuah kapal korek pasir bersama paip, dua buah jengkaut, sebuah jentolak serta 250 tan pasir laut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.28 juta.

Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dan rampasan itu berjaya diperoleh hasil serbuan menerusi Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan dengan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) kira-kira pukul 10 pagi kelmarin.

“Serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung kegiatan pemindahan bahan batuan disyaki pasir laut secara tidak sah di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati individu terbabit gagal mengemukakan sebarang lesen, permit atau dokumen kelulusan berkaitan aktiviti yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tangkapan membabitkan pemandu jentera, penyelia tapak, kapten kapal korek dan operator melibatkan empat orang lelaki Melayu serta dua orang lelaki warganegara Indonesia di lokasi terbabit.

Enam individu ditahan bagi siasatan lanjut.
Sumber : Briged Tenggara PGA Rasmi

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara kerana disyaki menjalankan aktiviti pengekstrakan atau pemindahan bahan batuan tanpa kebenaran sah.

“Siasatan awal mendapati tapak berkenaan dimiliki sebuah syarikat tempatan yang menjalankan kerja pembinaan di kawasan laut dan lokasi tersebut dipercayai sedang dibangunkan sebagai hab maritim baharu.

“Aktiviti penambakan pantai menggunakan pasir laut dikatakan bermula sejak Mac lalu dengan menggunakan kapal korek di tengah laut,” katanya.

Tambahnya, semakan lanjut mendapati, kerja-kerja pengorekan pasir itu tidak mempunyai lesen atau kelulusan sah daripada pihak berkuasa berkaitan.

Susulan itu, katanya, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada UPNP untuk tindakan lanjut, manakala sampel pasir turut diambil bagi dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Operasi antara PGA dan agensi penguatkuasaan negeri akan diteruskan dalam usaha memelihara khazanah alam serta membanteras kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast