Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Februari 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan tiga langkah segera bagi meringankan tekanan kos dan memastikan kelangsungan perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Ia hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan PMKS Bumiputera pada minggu lalu dan diperluas kepada komuniti Cina dan India, hari ini.

Tegas beliau, tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar.

Dengan itu kerajaan mengumumkan, peruntukan jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyokong PMKS yang terjejas, terutama dalam sektor pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan, serta pelancongan.

Jelasnya, jaminan bagi sektor yang terkesan ini ditambah baik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus (biasa 70 peratus) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun pada kebiasaannya.

SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar.

Setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama Kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Selain itu kerajaan turut mengumumkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

Ini termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh tersebut.

Langkah seterusnya bagi meringankan beban PMKS yang terjejas adalah dengan memberikan pertimbangan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik, sehingga 31 Disember 2026.

Menurut Anwar, kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat

Tegasnya, bahawa dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, Kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata Anwar.

Kerajaan juga katanya akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.

Tambahnya, ini bukan situasi sementara dan semua pihak perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast