MUAR – Sebanyak 203,918 permohonan orang awam diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 1 Januari hingga malam tadi supaya kandungan berbahaya dalam media sosial diturunkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kandungan paling tinggi yang dimohon untuk diturunkan adalah berkaitan perjudian dan penipuan dalam talian berjumlah 91 peratus.
“Daripada angka tersebut, 61 peratus adalah dalam kategori perjudian. Untuk scam angkanya adalah 30 peratus. Jumlah ini meningkat.
“Baki kandungan lain yang turut diminta untuk diturunkan melibatkan pornografi, buli atau gangguan serta perkhidmatan yang tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Kempen Internet Selamat (KIS) di Perpustakaan Mini Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
Seramai 80 pelajar dan 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari IPT sekitar Pagoh menyertai program berkenaan.
Ini termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN).
Jelas Fahmi, sebanyak 81 peratus kandungan perjudian dalam talian dikenal pasti berada dalam Facebook, manakala 58 peratus kandungan scam juga dikesan dalam platform yang sama.
Bagi kandungan pornografi, katanya, 99 peratus dilaporkan berada dalam TikTok manakala bagi buli atau gangguan, 90 peratus dikenal pasti di Tumblr.
Sementara itu, beliau memberitahu, setakat 31 Mac lepas, sebanyak 47 program KIS dilaksanakan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.
Jelasnya, kempen berkenaan merupakan usaha berterusan Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk memperkasa belia menghadapi ancaman dunia digital. – MalaysiaGazette
















