KUALA LUMPUR – Seorang pembantu restoran didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan mengintai seorang wanita di dalam tandas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul, 16 April lalu.
Abdul Samad Rosman membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 23 tahun itu pada pukul 8 pagi di tandas wanita LRT Sentul, mengintai Nadia Muhalim.
Justeru lelaki tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sekiranya gagal membayar denda lelaki itu berdepan hukuman penjara selama empat bulan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), CH Low merayu supaya hukumannya diringankan susulan menanggung ibu dan bapanya yang tidak sihat dengan pendapatan di restoran sebanyak RM1,500 sebulan.
Katanya, tertuduh juga menginsafi perbuatannya dan memberi jaminan tidak akan mengulanginya.
Baru-baru ini tular satu rakaman memperlihatkan seorang pemuda dalam keadaan bergari selepas dicekup polis di kawasan tandas awam di Stesen LRT Sentul.
Turut kedengaran di dalam video tersebut adalah suara seorang mangsa wanita yang sudah menangis teresak-esak akibat trauma selepas dihendap oleh lelaki itu ketika menggunakan tandas berkenaan.
Sehari selepas kejadian, tertuduh direman polis. – MalaysiaGazette
















