TAWAU – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes rogol terhadap seorang remaja wanita di sebuah hotel, kurang 24 jam selepas laporan dibuat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang berada dalam keadaan mabuk dan lemah di sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central dibawa oleh suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda ke sebuah hotel.
Menurutnya, mangsa kemudian menyedari dirinya telah dirogol sebelum tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di Kampung Pukat dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.
Beliau berkata, suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 28 tahun dan hasil semakan mendapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Tambahnya, suspek telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















