KUALA LUMPUR – Sapura terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi pertahanan, keselamatan dan komunikasi strategik negara apabila mempamerkan keupayaan terbaharu termasuk keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta rangkaian komunikasi selamat.
Ia mencerminkan komitmen berterusan Sapura dalam menyokong pembinaan Malaysia yang selamat, terjamin dan berdaulat melalui pembangunan teknologi tempatan yang mampu menangani ancaman keselamatan moden seperti peperangan siber dan ancaman digital yang semakin kompleks.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, landskap ancaman digital kini berkembang dengan pantas dan memerlukan pendekatan lebih strategik serta berteknologi tinggi.
“Melalui Velum Labs, Sapura memiliki keupayaan untuk mengenal pasti, menjejak dan memetakan ancaman ini ke dalam teknologi serta penyelesaian kami.
“Kami juga mengiktiraf peranan AI yang mampu mengubah landskap operasi siber secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 yang berlangsung di MITEC, bermula hari ini hingga 23 April.
Pameran itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin.
Shahril berkata, Velum Labs, cabang keselamatan siber dan risikan Sapura terus memainkan peranan penting dalam memperluas keupayaan siber Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk menerajui pembangunan AI berejen berdaulat (sovereign agentic AI) yang boleh diintegrasikan dalam operasi siber nasional.
Pada pameran itu, Velum Labs turut mempersembahkan program V-ATTACK secara langsung bagi menunjukkan keupayaan integrasi AI dalam operasi siber aktif serta pertahanan siber.
Sementara itu, Sapura Secured Technologies memperkenalkan Government Integrated Radio Network (GIRN 2.0), sistem komunikasi berasaskan 5G yang dipacu AI bagi memenuhi keperluan komunikasi selamat dan berdaulat negara.
Menurut syarikat itu, GIRN 2.0 membolehkan kerajaan mengurus bencana nasional dan operasi perlindungan awam dengan lebih cekap melalui penyatuan semua agensi tindak balas dalam satu sistem bersepadu yang menyediakan maklumat masa nyata.
“Keupayaan ini membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan antara agensi diperkukuh serta perlindungan nyawa rakyat dipertingkatkan ketika krisis,” jelasnya.
Penyertaan Sapura dalam DSA 2026 sekali gus memperkukuh peranan syarikat itu dalam membangunkan teknologi strategik tempatan, selain mengangkat Malaysia sebagai pemain serantau dalam bidang pertahanan, keselamatan siber dan komunikasi kritikal berdaulat. – MalaysiaGazette
















