Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar) menggesa kerajaan menilai semula struktur Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

KUALA LUMPUR – Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar) menggesa kerajaan menilai semula struktur Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Ini susulan dakwaan kegagalan badan itu bertindak pantas dalam menangani krisis tenaga semasa.

Dalam kenyataan hari ini, Akar menyifatkan pendekatan PPPK sebagai tidak proaktif dan tidak selari dengan keperluan mendesak ketika negara berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga serta tekanan inflasi global.

Menurutnya, dalam situasi yang semakin mencabar, negara memerlukan tindak balas dasar yang segera, terselaras dan berpaksikan realiti semasa, namun perkara itu didakwa tidak dizahirkan oleh pasukan berkenaan.

Kenyataan itu turut mempersoalkan ketiadaan cadangan pakej rangsangan fiskal yang benar-benar mampu menyokong rakyat dan sektor perniagaan ketika kos operasi terus meningkat.

Lebih membimbangkan, ia memberi gambaran seolah-olah wujud sikap pasif yang menjejaskan usaha kepimpinan tertinggi negara dalam mengurus krisis secara menyeluruh.

“Ketika kepimpinan negara bergerak dalam mod krisis dengan pendekatan agresif termasuk libat urus bersama industri dan rakan serantau, PPPK dilihat masih terikat dengan birokrasi,” menurut kenyataan itu.

Akar berkata, kelewatan dalam membuat keputusan bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah berpotensi menghakis keyakinan pelabur dan rakyat terhadap keupayaan kerajaan.

Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menegaskan PPPK sepatutnya memainkan peranan sebagai pemacu utama penyelarasan dasar, bukannya menjadi penghalang kepada pelaksanaan langkah-langkah segera.

Akar turut mengingatkan bahawa dalam situasi krisis, tiada ruang untuk pendekatan business as usual atau sikap berkecuali dalam membuat keputusan.

Justeru, mereka menggesa satu penilaian menyeluruh dilakukan terhadap peranan dan keberkesanan PPPK, termasuk kemungkinan penstrukturan semula sekiranya kelemahan sedia ada berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast