PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memeterai kontrak perolehan sebuah Kapal Misi Serbaguna Kedua (MPMS 2) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bernilai AS$83.75 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perolehan kapal MPMS kedua ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Kelima (RMKe-12, RP5) Tahun 2025.
“Ia telah dianugerahkan kepada syarikat Desan Shipyard, Turkiye dengan nilai kontrak sebanyak AS$83.75 juta. Tempoh pelaksanaan projek ini adalah selama 24 bulan, bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028,” katanya pada sidang media di pejabat KDN hari ini.
Terdahulu Saifuddin menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan MPMS 2 yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.
Saifuddin juga berkata, perolehan aset tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan keselamatan maritim negara.
“Perolehan ini bagi memastikan keselamatan maritim negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, selain memperkukuh keupayaan operasi agensi dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara,” katanya.
Sebelum ini, Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan tersebut telah diserahkan kepada syarikat Desan Shipyard pada 7 Januari 2026 semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ankara, Republik Turkiye.
Pelaksanaan projek ini juga telah dimulakan dengan Majlis Steel Cutting di Desan Shipyard, Turkiye pada 11 Februari lalu yang disaksikan secara tele sidang dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini melibatkan pegawai kanan agensi, wakil Bahagian Perolehan KDN serta Pasukan Projek MPMS.

Selain itu, Saifuddin juga berkata, pembinaan kapal MPMS pertama yang turut dilaksanakan syarikat Desan Shipyard menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kemajuan semasa sebanyak 68.91 peratus setakat ini.
“Kemajuan pembinaan kapal MPMS pertama mendahului jadual sebanyak 2.91 peratus atau bersamaan 20 hari lebih awal daripada perancangan.
“Berdasarkan prestasi tersebut, KDN optimis kedua-dua kapal MPMS ini dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Saifuddin, perolehan aset strategik ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan maritim serta meningkatkan keupayaan operasi APMM.
“Pada masa sama, kerjasama ini turut mengukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan Turkiye dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
“KDN akan terus komited memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara melalui pemerkasaan aset dan keupayaan agensi penguatkuasaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















