Dangi Chopilal didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di perkarangan sebuah kilang, bulan lalu.

Tertuduh, Dangi Chopilal, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Nepal di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh rakan senegaranya, Budha Bed Bahadur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mac lalu antara jam 11 malam hingga 11.30 malam di perkarangan kilang di Permatang Tinggi di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. 

Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tiada peguam mewakili tertuduh.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat pada 16 Jun depan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Warga Nepal maut ditikam rakan sekerja

Prosiding bunuh warga Nepal ditangguhkan untuk lantikan jurubahasa

Media pada 1 April lalu melaporkan pendakwaan terhadap tertuduh ditangguh bagi lantikan jurubahasa Nepal.

Sementara itu, pada 23 Mac lalu MalaysiaGazette melaporkan seorang pekerja kilang pemprosesan itik warga Nepal direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan membunuh rakan senegaranya di Permatang Tinggi di sini.

Dalam kejadian kira-kira 1.10 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan akibat ditikam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan suspek yang juga pekerja di kilang sama dipercayai terlibat dalam pertengkaran mulut di bilik asrama.

Mangsa kemudiannya keluar makan dan selepas selesai, dipercayai keluar untuk membuang air kecil sebelum diserang secara tiba-tiba oleh suspek.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian rusuk akibat ditikam.

Susulan itu, pihak polis berjaya menahan suspek di kawasan asrama pekerja berkenaan selain merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast