Pengasas selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pertahanan tempatan, Nizra Industries, Nik Iruwan Nik Izani bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Malaysia membangunkan sistem pertahanan yang dipacukan teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (GenAI) sendiri sebagai persediaan awal dalam mendepani konflik moden pada masa akan datang.

Pengasas selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pertahanan tempatan, Nizra Industries, Nik Iruwan Nik Izani berkata, konflik Asia Barat menjadi kayu pengukur keberkesanan AI dalam sistem pertahanan sesebuah negara.

“Sebenarnya kalau kita tengok sekarang perang di Asia Barat, Rusia dan Ukraine, sebenarnya banyak menggunakan dron.

“Dron tidak terlalu mahal, ia menggunakan sistem AI dan sistem pertahanan yang sangat efisien.

“Malaysia sudah bermula ke arah situ dan kita juga sebagai syarikat pertahanan sudah disarankan oleh kerajaan untuk mula membina teknologi ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Pengasas selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pertahanan tempatan, Nizra Industries, Nik Iruwan Nik Izani bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada Isnin.

Nizra Industries antara salah sebuah dari 1,400 syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran dwitahunan edisi ke-19 itu mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.

Syarikat pertahanan tempatan itu juga mempamerkan keupayaan merentasi sistem mobiliti darat, platform tanpa pemandu dan autonomi, teknologi senjata dan radar, serta sistem arahan, kawalan dan keselamatan negara bersepadu yang dikuasakan dengan AI.

Nik Iruwan juga boleh berbangga apabila Nizra Industries mampu membangunkan Sistem Rangkaian Medan Perang Bersepadu Nizra iaitu platform C4ISR yang boleh menghubungkan sensor, dron dan unit operasi ke dalam rangkaian operasi masa nyata dan yang bersatu.

“Itu adalah perniagaan kita dan kita sedang membangunkannya. Sekarang semua dron boleh dikawal oleh kawalan arahan. Lebih 100 dron boleh dikawal dengan sistem kita pada masa sama.

“Dan semuanya real life, real time. Saya dan bagi syarikat kita adalah masa depan pertahanan negara,” katanya.

Selain itu, kata Nik Iruwan, Nizra Industries turut mempamerkan sistem tanpa pemandu yang dibangunkan secara tempatan, termasuk platform FPV, sistem peluru berlegar, UAV taktikal sayap tetap dan UAV berbilang peranan angkat berat.

“Ini menunjukkan keupayaan Nizra yang semakin berkembang dalam pembangunan sistem tanpa pemandu termaju dan pembuatan berskala di Malaysia.

“Ia sebagai sebahagian daripada cita-cita jangka panjang Nizra Industries untuk membina platform pertahanan dan teknologi bernilai tinggi yang berskala.

“Keupayaan sistem bersepadu Nizra meliputi aplikasi peringkat kebangsaan, termasuk sistem keselamatan sempadan dan platform arahan operasi kebangsaan

“Kesungguhan Nizra mencerminkan visi jangka panjangnya untuk menyokong infrastruktur pertahanan dan keselamatan yang dikuasakan dengan AI,” katanya.

Katanya lagi, beliau berharap Kerajaan Malaysia memberi kepercayaan dan mengutamakan syarikat tempatan seperti Nizra Industries untuk membangunkan sistem pertahanan menggunakan teknologi tempatan.

“Saya sebagai syarikat pertahanan di sini, banyak vendor kita yang berpengalaman dan mempunyai banyak potensi. Kita adalah syarikat yang diberi tugas untuk integrasi semua teknologi di negara kita untuk masa depan pertahanan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast