MADINAH – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menganjurkan majlis bacaan yassin dan solat hajat di surau Zaha Taiba Hotel, di sini dengan dihadiri lebih 40 orang petugas haji.
Majlis diadakan bagi memohon keberkatan, kelancaran dan kejayaan operasi haji musim 1447H/2026M.
Majlis dimulakan dengan solat magrib dan solat hajat berjemaah, diikuti bacaan yasin yang dipimpin oleh Pengurus Bimbingan Dan Ziarah Madinah, Mohamad Zahir Husin.
Kemudian, majlis ini disusuli dengan ucapan amanat ringkas oleh Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun.
Majlis turut diisi dengan pengisian tazkirah rohani oleh Ustaz Saiful Nizam, Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas).
Persiapan Operasi Haji Madinah bagi musim 1447 Hijrah kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menerima seramai 31,600 jemaah haji Malaysia.
Kumpulan jemaah tiba secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
Bagi musim ini, penempatan jemaah haji Malaysia di Madinah melibatkan tiga zon utama iaitu Hotel Emaar Royal (Zon 1), Hotel Anwar Al Madinah Movenpick (Zon 2) dan Hotel Emaar Elite (Zon 3), dengan hotel terakhir merupakan bangunan baharu yang terletak kira-kira 150 meter dari Masjid Nabawi. – MalaysiaGazette
















