PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, memaklumkan kerja penambahbaikan projek pembangunan di Bukit Kiara susulan insiden banjir lumpur baru-baru ini, hampir siap.
Bagaimanapun katanya, keberkesanan kerja penambahbaikan itu hanya dapat ditentukan selepas diuji hujan sebenar.
Hannah turut mengakui keadaan di lapangan masih mencabar kerana setiap kali hujan, aliran lumpur terus keluar dari kawasan projek terbabit.
“Sekarang ini agak mencabar kerana setiap kali hujan, banjir lumpur itu mengalir keluar. Tetapi kerana kita telah wujudkan pusat gerakan di situ, DBKL dan JKR ada bersama kontraktor.
“Setakat ini saya nampak kerja penambahbaikan hampir selesai,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Hannah berkata demikian selepas merasmikan Program Tuition Mission di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Menurut beliau, beberapa agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah digerakkan bagi memantau keadaan serta menyiapkan fasiliti dan infrastruktur bagi menampung aliran air hujan di kawasan berisiko.
Hannah berkata, pusat kawalan yang diwujudkan di lokasi projek membantu mempercepatkan tindakan susulan serta pemantauan berterusan di lapangan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini juga kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Menteri KPKT (Nga Kor Ming) kerana tapak tanah itu milik Jabatan Landskap Negara tetapi kontraktor itu dipilih oleh Jabatan Kerja Raya. Jadi pemantauan sedang berjalan,” katanya lagi.
Terdahulu, DBKL mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta terhadap projek pembangunan di Bukit Kiara susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sebagai langkah kecemasan demi keselamatan penduduk.
Insiden itu turut menyaksikan limpahan Sungai Damansara menyebabkan sebahagian kawasan perniagaan Seksyen 13 dan TTDI Jaya dilanda banjir kilat dengan paras air mencecah 0.4 meter, sekali gus mencetuskan kesesakan di Jalan Opera, Jalan Lembing dan Jalan Renang. -MalaysiaGazette
















