Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam yang bermula sejak 15 April lalu telah mencatatkan penjimatan bahan api berjumlah 334,000 liter.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, nilai penjimatan tersebut dianggarkan mencecah RM678,000 dalam tempoh hanya seminggu pelaksanaan.

Menurutnya, setakat hari ini, seramai 155,000 penjawat awam telah mendaftar di bawah program berkenaan.

“Status pelaksanaan ini telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“KSN juga telah diingatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sektor swasta berhubung pelaksanaan BDR di peringkat mereka bagi membolehkan kerajaan melihat angka penjimatan secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi peringatan tegas kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan agar terus mengutamakan langkah penjimatan bekalan tenaga.

Jelasnya, langkah tersebut termasuk mengurangkan perjalanan ke luar negara dan memaksimumkan penggunaan premis kerajaan bagi penganjuran bengkel atau program latihan.

“Kerajaan juga menggalakkan lebih banyak mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian bagi mengurangkan keperluan mesyuarat bersemuka, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api,” katanya lagi.

Terdahulu kerajaan melaksanakan BDR susulan krisis tenaga global dan sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kos melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC bermula 15 April lalu.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, di samping mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast