KUALA LUMPUR – Berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik syarikat lain bagi mengelirukan pihak berkuasa, itu antara modus operandi yang dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Shah Alam dan Puchong, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi bersepadu Ops Mahir bermula sekitar jam 10.55 pagi itu, seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah berjaya ditahan.
Katanya, operasi melibatkan 66 pegawai imigresen bersama 12 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu menfokuskan sektor perindustrian dan logistik yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap kehadiran PATI.
“Hasil pemeriksaan di dua premis melibatkan 112 individu, pihak kami menahan 62 warga asing iaitu 56 dari Bangladesh, Nepal (empat) serta masing-masing seorang dari India dan Indonesia atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Warga asing ini dikesan bekerja di premis berbeza daripada majikan asal yang didaftarkan, sekali gus menunjukkan wujud penyalahgunaan pas serta kemungkinan penglibatan majikan yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar syarat permit, malah mencerminkan cubaan terancang untuk mengeksploitasi sistem sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang terlibat.
“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c), serta salah guna pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Tiga saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih dan KLIA bagi tujuan dokumentasi serta tindakan lanjut.
Tegas Zakaria, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara. – MalaysiaGazette
















