KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menegaskan, isu penyelewengan dana bantuan yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiada kaitan dengan agensi berkenaan.
MAIWP dalam kenyataan malam ini memaklumkan, pihaknya menyokong penuh tindakan tegas SPRM dalam menyiasat dan membanteras sebarang bentuk penyelewengan yang melibatkan dana kebajikan.
Agensi itu turut memberi jaminan kepada seluruh pembayar zakat di Wilayah Persekutuan bahawa dana zakat diuruskan dengan penuh amanah dan dikawal selia melalui proses audit berkala.
“MAIWP mengambil maklum mengenai laporan media berhubung tindakan SPRM menahan beberapa individu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas dakwaan penyelewengan dana bantuan baru-baru ini.
“Integriti dalam pengurusan dana awam, terutamanya dana zakat adalah perkara yang tidak boleh dikompromi dalam memastikan kebajikan asnaf sentiasa didahulukan,” ujar kenyataan itu dalam laman Facebook.
Menurut kenyataan, tahap ketelusan dan akauntabiliti tersebut telah diiktiraf secara konsisten apabila MAIWP berjaya memperoleh Sijil Bersih Ketua Audit Negara selama 19 tahun berturut-turut.
Jelasnya, satu pencapaian yang tidak mungkin dicapai tanpa pengurusan kewangan yang berdisiplin, patuh audit dan bebas daripada sebarang penyelewengan.
“Kami tidak akan membiarkan nama baik institusi ini dicemari oleh tindakan pihak luar yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan MAIWP boleh didapati dari laman web rasmi www.maiwp.gov.my.
Semalam, SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pemimpin kanan sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta antara 2018 hingga 2024.
Media melaporkan SPRM menyita 18 kenderaan mewah, termasuk Porsche dan Mercedes, rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, serta pelbagai harta alih meliputi wang dan jam tangan mewah.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hari ini menjelaskan, kes berkenaan tidak membabitkan sepenuhnya sumber dana daripada badan zakat.
Sebaliknya, dana disyaki diselewengkan itu adalah daripada sumbangan pelbagai pihak dan sumber kepada pertubuhan berkenaan.
Malah, sebahagian daripada sumbangan dipercayai diselewengkan itu juga termasuk kutipan tertentu yang sepatutnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri. – MalaysiaGazette
















