KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) hari ini memeterai 24 instrumen strategik berjumlah RM3.542 bilion melibatkan 12 kontrak perolehan, empat Surat Niat (LOI) dan lapan Surat Tawaran Program Kolaborasi Industri (ICP).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ICP membawa manfaat lebih besar sebagai pemangkin utama dalam membina ekosistem industri pertahanan yang mampan, berdaya saing dan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap teknologi asing melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
“Nilai ICP yang diberikan kepada empat syarikat bernilai RM1.4 bilion bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal-kapal perang negara.
“Jadi tak perlulah kapal-kapal perang itu dihantar untuk melalui MRO di dermaga yang terdapat di luar negara,” katanya pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Dalam pada itu, Khaled berkata, pelaksanaan ICP dijangka memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan mempromosikan autonomi strategik jangka panjang negara.
“Pemeteraian Kontrak, LOI serta Surat Tawaran ICP ini mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
“Ia melalui perolehan yang berteraskan kesiapsiagaan, keupayaan cegah rintang dan pembangunan kapasiti jangka panjang.
“Usaha ini adalah selaras dengan dinamika cabaran keselamatan global yang sentiasa berubah,” katanya.
Selain itu, katanya, pemberian Surat Tawaran ICP kepada syarikat tempatan mewajibkan mereka untuk melakukan pemindahan teknologi ke dalam negara.
“Peranan syarikat ICP untuk pindahkan ilmu dan ilmu-ilmu yang sememangnya dikehendaki oleh negara, ada beberapa perkara kita nak pastikan negara ini boleh mengeluarkan sendiri produk-produk termasuk roket, peluru perpandu dan dron.
“Kita akan menggunakan kaedah ICP ini untuk kita bangunkan keupayaan syarikat tempatan. Jadi atas sebab itulah ICP ini sangat penting,” katanya.
Jelasnya, mana-mana syarikat yang menerima anguerah ICP dikenakan syarat mempunyai keupayaan menerima teknologi dan melakukan pemindahan untuk manfaat tempatan.
“Syarat syarikat yang terima ICP mesti mempunyai keupayaan untuk menerima teknologi, maknanya kalau syarikat itu kosong tak boleh bagi.
“Dengan teknologi itu boleh bangunkan keperluan-keperluan aset negara, setakat ini adalah permulaan apabila kita telah lancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















