JOHOR BAHRU – Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai mengusulkan parti itu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Menurut Ketua PKR Cabang Pulai, Faezuddin Puad, ia merupakan usul utama dibawakan dalam mesyuarat berkenaan semalam yang dirasmikan Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.
“Alhamdulillah, selesai sudah Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Pulai bagi memenuhi tuntutan Perlembagaan parti. Mesyuarat ini penting untuk membawa suara akar umbi, memperkukuh organisasi dan menyusun gerak kerja perjuangan.
“Antara usul utama yang dibawa ialah supaya PKR diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi DUN Kempas, selaras dengan kekuatan gerak kerja dan komitmen berterusan kita di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkata, mesyuarat itu turut mengusulkan agar PRN Johor ditangguhkan memandangkan rakyat sedang bergelut dengan impak krisis global dan terdapat keperluan diadakan serentak dengan pilihan raya umum.
Jelasnya, ini bagi menjimatkan wang rakyat, mengurangkan kos pentadbiran dan memastikan keutamaan diberikan kepada agenda meringankan beban rakyat.
“Selain itu, kita juga menegaskan bahawa perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) di Pulai dan Johor mesti terus kekal utuh dan diperkasakan dari masa ke masa.
“Ini kerana kekuatan gabungan inilah yang menjadi asas kestabilan politik, keyakinan rakyat dan kejayaan agenda reformasi di negeri Johor,” katanya.
Beliau berharap semoga segala perbincangan, usul dan tekad yang dibawa dalam mesyuarat itu menjadi suntikan semangat untuk ahli terus bekerja lebih kuat, lebih tersusun dan lebih dekat dengan rakyat.- MalaysiaGazette
















