PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman jenayah adalah berperlembagaan dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang menyampaikan keputusan majoriti 2-1 berkata, hukuman berkenaan tidak bercanggah dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Perkara 5 menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri, manakala Perkara 8 memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang.
“Sebatan adalah hukuman yang dibenarkan undang-undang dan tidak melanggar Perlembagaan,” katanya dalam penghakiman di sini hari ini.
Keputusan itu susulan cabaran tiga banduan yang memfailkan permohonan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan hukuman sebat terhadap mereka.
Pemohon berhujah hukuman itu bersifat kejam, arbitrari serta membawa risiko kematian, sekali gus melanggar hak kebebasan diri.
Bagaimanapun, mahkamah berpendirian hukuman sebat tidak bertujuan menyebabkan kematian seperti hukuman mati.
Menurut Wan Ahmad Farid, semua bentuk hukuman yang sah sememangnya bersifat menghukum dan pada tahap tertentu menjejaskan keselesaan serta maruah individu.
“Mengasingkan hukuman sebat sebagai terlalu kejam atau menjatuhkan maruah adalah mengabaikan hakikat bahawa semua hukuman yang sah memberi kesan sedemikian,” katanya.
Mahkamah turut meneliti hujahan pemohon yang merujuk kepada kematian banduan, Mohd Zaidi Abdul Hamid pada 2024, beberapa hari selepas disebat di Penjara Pokok Sena.
Namun, mahkamah mendapati tiada bukti jelas yang mengaitkan kematian itu secara langsung dengan hukuman sebat.
Sebaliknya, faktor lain termasuk kemungkinan salah urus perubatan tidak boleh diketepikan.
“Untuk mengaitkan kematian itu secara langsung dengan hukuman sebat tanpa bukti perubatan yang jelas adalah bersifat spekulatif,” jelasnya.
Mengulas Perkara 5, beliau menegaskan beban pembuktian terletak kepada pemohon, namun gagal menunjukkan pelanggaran nyata terhadap Perlembagaan.
Wan Ahmad Farid berkata, risiko terpencil kematian tidak mencukupi untuk menjadikan hukuman itu tidak berperlembagaan.
Mahkamah turut menolak hujahan bahawa hukuman sebat adalah kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah.
Berhubung Perkara 8, mahkamah memutuskan kerangka undang-undang yang memperuntukkan sebat sebagai alternatif kepada hukuman mati adalah sah dan berimbang.
Pengecualian terhadap wanita serta kategori pesalah tertentu juga tidak dianggap sebagai diskriminasi yang bercanggah dengan Perlembagaan.
Menurutnya, ia merupakan layanan keutamaan yang dibenarkan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan soal moral atau kesesuaian sesuatu hukuman terletak di bawah bidang kuasa Parlimen.
“Mahkamah bukan badan untuk menentukan moral atau bertindak sebagai ‘super-legislature’,” katanya.
Mahkamah turut menegaskan bahawa perjanjian antarabangsa tidak terpakai secara automatik dalam undang-undang domestik melainkan diluluskan oleh Parlimen. -MalaysiaGazette
















