KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Nordin memberi penjelasan terbuka mengenai dakwaan salah guna dana syarikat berjumlah lebih RM300 juta.
Presidennya, Jais Abd Karim berkata, laporan terkini mengenai kemungkinan berlaku penyalahgunaan dana, konflik kepentingan serta urus niaga meragukan melibatkan syarikat keselamatan berkenaan sepanjang tempoh November 2024 hingga September tahun lalu perlu dijelaskan.
Dalam masa sama, beliau menggesa supaya siasatan dalaman dilaksanakan bagi memastikan syarikat keselamatan itu mempunyai integriti dan akauntabiliti.
“Kemelut ini penting kerana ia syarikat utama dalam keselamatan negara. Kalau ia berkemelut akan beri kesan kepada rakyat secara keseluruhan selain beri kesan kepada pemegang-pemegang saham.
“Pelbagai isu yang bermain di media sosial dan diutarakan pemegang saham, maka Abu Hanifah tidak boleh terus mendiamkan diri, walhal COO (Victor Chin Boon Long) telah dibenarkan meletakkan jawatan. Ini satu perkara yang tidak adil kepada semua pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Jais hadir ke pejabat NexG di Lorong Dungun, Damansara Heights di sini, bagi menyerahkan memorandum kepada Abu Hanifah.
Ujarnya, selain memorandum, MCW merancang membuat laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sekiranya tindakan pihaknya pada hari ini tidak berkesan.
Sebelum ini, MCW membuat laporan polis mengenai isu NexG Berhad untuk mendesak supaya siasatan dalaman ke atas Victor Chin yang pernah menjadi COO syarikat itu.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, melabel Victor Chin Boon Long sebagai ‘syaitan korporat’ dalam satu sidang media khas bagi menafikan pembabitannya dalam skandal ‘mafia korporat’.
Kontroversi Victor Chin turut berkisar kepada transaksi saham MMAG Holdings Bhd melibatkan isteri Victor Chin, Chan Swee Ying, yang dilaporkan melupuskan 9.53 peratus kepentingan (220 juta saham) bernilai RM88.22 juta kepada NexG Bhd.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengesahkan pihak berkuasa sedang menjejaki Victor Chin susulan dakwaan penglibatannya dalam sindiket pengambilalihan paksa syarikat. – MalaysiaGazette
















