Datuk Mohd Imran Tamrin. Foto MUHD NA’IM, 01 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Selangor menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menarik balik ucapan perbahasannya pada sidang DUN yang menyentuh dan membangkitkan isu ternakan babi termasuk membuat perbandingan hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, perbahasan Siew Ki itu meleset selain jelas gagal memahami secara menyuluruh struktur kedudukan undang-undang.

Malah, katanya, Siew Ki tidak merujuk kedudukan dan peranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Lebih membimbangkan lagi biadab, konteks ucapan beliau juga seolah-olah mencabar serta mempertikaikan titah Sultan Selangor berkenaan isu penternakan babi seterusnya memberi gambaran bahawa beliau tidak berpuas hati dan terus membangkitkan isu berkaitan ternakan babi yang boleh menyinggung institusi diraja Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Mohd Imran, titah Sultan Selangor secara jelas menyatakan pendirian baginda berhubung isu penternakan babi yang tidak sesuai dilaksanakan di Selangor.

“Tindakan membangkitkan semula isu itu dalam perbahasan menjunjung kasih dilihat tidak bertanggungjawab dan boleh menyinggung institusi diraja,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Mohd Imran berkata, Pemuda UMNO Selangor turut mengambil maklum keputusan kerajaan negeri sebelum ini selaras dengan titah Sultan Selangor termasuk pembatalan projek ternakan babi di Bukit Tagar serta penamatan lesen berkaitan.

Sementara itu, beliau menambah, Siew Ki wajar dirujuk ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan Dewan Negeri Selangor dan diberi peringatan serta tindakan tegas daripada backbenchers atas tindakannya jika enggan menarik balik perbahasannya.

Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Katanya, cadangan itu tersebut mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast