KUALA LUMPUR – Kegiatan penyelewengan minyak diesel melibatkan di sebuah lori tangki berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, hasil rondaan di sebuah stesen minyak di sekitar Pandamaran, Klang, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, pihaknya menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori berusia 40 tahun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori berkenaan telah diubah suai bagi tujuan pemindahan bahan api ke tangki tambahan.
“Tangki badan lori dianggarkan berkapasiti 5,000 liter dan kira-kira 1,000 liter diesel yang disyaki untuk diseleweng berjaya dikesan dan diselamatkan.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek mendapati tidak mempunyai dokumen sah memiliki dan membawa barang kawalan berjadual iaitu bahan api diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM62,000, manakala nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan mencecah RM6,000.
Susulan itu, pihaknya menyita lori dan diesel diseleweng itu serta disimpan di stor penyimpanan ekshibit KPDN Selangor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 dibaca bersama dengan Peraturan 3(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Pihak stesen minyak turut berpotensi disiasat di bawah Akta yang sama iaitu di bawah Subperaturan 21(1) Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974- Pelanggaran Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Hanizam berkata, sebanyak 17 kes telah dihasilkan dengan sitaan keseluruhan melebihi RM300,000 hasil 852 pemeriksaan.
Katanya, ia melibatkan stesen minyak, pemborong bahan api dan premis runcit di seluruh negeri ini sepanjang Ops Tiris 4.0 bermula 16 Mac hingga semalam.
“Kita juga serius untuk syor pembatalan atau menggantung kelulusan fleet card terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi dan subsidi nelayan di Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette
















