KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang memakai vest dan helmet Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran seperti yang tular dalam video baru-baru ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar, tindakan berkenaan dibuat susulan pihaknya menerima maklumat berhubung video tular berkenaan, semalam.
“Video berkenaan memaparkan seorang lelaki memakai pakaian serta helmet berlogo polis tanpa kebenaran.
“Kejadian itu dipercayai berlaku pada 17 April lalu dan dirakam serta dimuat naik menerusi platform TikTok,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, lelaki itu ditahan di kawasan USJ dan direman untuk tindakan lanjut.
Mohd Fairus berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















