KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki didesak supaya menarik balik kenyataannya apabila didakwa menyamakan penternakan babi dengan haiwan lain dan memohon ampun kepada Sultan Selangor serta umat Islam.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Shahrulufti Sharif berkata, pihaknya mengecam keras kenyataan ADUN terbabait di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang disifatkan tidak menghormati titah baginda apabila sebelum ini menegaskan larangan penternakan babi di negeri berkenaan.
Menurut beliau, sebagai rakyat Malaysia, setiap ucapan dan tindakan perlu selaras dengan prinsip menghormati institusi Raja dan Perlembagaan.
“Dalam Perlembagaan, tidak wujud konsep kesamarataan mutlak, sebaliknya terdapat kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta keistimewaan tertentu yang dijamin,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, menyamakan penternakan babi dengan ternakan halal dianggap sebagai tidak sensitif terhadap prinsip Islam dan masyarakat Melayu-Islam.
Sehubungan itu, tegasnya, Putra turut menggesa pihak polis menyiasat kenyataan berkenaan di bawah isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), selain menuntut kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan tegas.
“Tidak ada kebebasan bersuara yang boleh digunakan untuk menghina titah Sultan secara terbuka walaupun dalam Dewan,” katanya.
Dalam pada itu, Putra menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan Islam, institusi diraja dan asas Perlembagaan, serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didakwa mempermainkan isu sensitif melibatkan agama dan institusi diraja.
Dalam perkembangan sama, Shahrulutfi memaklumkan, Putra telah membuat laporan polis berhubung ucapan Siew Ki yang didakwa mempersoalkan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi.
Laporan dibuat susulan tindakan ADUN berkenaan yang dianggap tidak wajar dan menyentuh sensitiviti institusi diraja serta umat Islam di negeri itu.
“Titah Sultan Selangor perlu dihormati oleh semua pihak tanpa sebarang pertikaian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu yang berkait dengan kepentingan agama dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















