PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh, hari ini terus dihantar ke penjara selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya dalam kes rasuah membabitkan RM200,000.
Lelaki berusia 64 tahun itu sebelum ini bebas dengan ikat jamin, namun waran komital dikeluarkan bagi memastikan hukuman penjara empat tahun berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Noorin Badaruddin, bersama Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Mahkamah turut mengekalkan denda RM1 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi, namun tempoh penjara jika gagal membayar denda itu dikurangkan daripada empat tahun kepada dua tahun.
Dalam penghakiman, Noorin berkata pembelaan Sabudin gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Katanya, bukti menunjukkan wujud transaksi wang RM200,000 yang diterima tertuduh sebagai dorongan bagi memudahkan kelulusan permit kerja kepada syarikat berkaitan.
Beliau turut menegaskan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menilai semula keseluruhan bukti dengan betul, manakala Mahkamah Sesyen tersilap apabila gagal meneliti keterangan secara menyeluruh.
Mahkamah juga mendapati keterangan pengadu sebagai pemberi rasuah adalah konsisten serta disokong fakta sekeliling, termasuk hubungan antara kedua-dua pihak yang tidak pernah dipertikaikan sepanjang perbicaraan.
Sabudin sebelum ini didakwa menerima rasuah daripada Wong May Kuan, subkontraktor kepada sebuah syarikat, sebagai balasan untuk mengeluarkan permit kerja projek penurapan jalan di ibu negara antara 2018 hingga 2020.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah stesen minyak di MRR2, Bukit Antarabangsa pada Jun 2018 dan di kediamannya di Ampang pada Januari 2019.
Kes berkenaan melalui beberapa peringkat apabila Sabudin pada awalnya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, sebelum keputusan itu dibatalkan Mahkamah Tinggi yang kemudian mensabitkannya.
Pada Ogos 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak serta denda RM1 juta. -MalaysiaGazette
















