Rokok seludup pelbagai jenis yang dirampas menerusi serbuan di Taman Sri Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR – Sebuah rumah yang dijadikan lokasi penyimpanan rokok seludup dengan jumlah keseluruhan 5,111 karton rokok pelbagai jenis berjaya dibongkar menerusi serbuan di Taman Sri Serdang, Selangor, semalam.

Serbuan sekitar jam 8 malam itu dilaksanakan sepasukan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, pihaknya turut menahan lima individu termasuk seorang penyelia berusia lingkungan 30 hingga 40-an bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan sejumlah besar rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai kastam disimpan di beberapa bahagian premis termasuk ruang tamu, bilik utama, bilik kedua, ruang stor dan ruang rehat.

“Kesemua rokok itu dipercayai untuk pasaran tempatan melibatkan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan mencecah RM1.28 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara lima individu termasuk seorang penyelia berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang ditahan bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan rumah teres tersebut sebagai stor penyimpanan sebelum rokok sebelum diedarkan ke pasaran.

“Hasil risikan mendapati kegiatan itu dilakukan secara tersusun bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Operasi ini berjaya mematahkan rangkaian sindiket penyimpanan, pengedaran dan penjualan rokok tanpa cukai kastam di sekitar Lembah Klang dan ke luar negara,” jelasnya.

Mohd Zaki menambah, kesemua tangkapan dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast