KUALA LUMPUR – Lima individu dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket isytihar palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang.
Ia melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.
Menurut sumber, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah menjalankan satu operasi bersepadu sejak 21 April lalu menerusi Op Celio.
“Setakat ini operasi yang dijalankan sejak Selasa lalu, SPRM telah menggeledah sebanyak 26 buah lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.
“Hari ini, Op Celio diteruskan lagi di Pulau Pinang dan Kelantan dengan menyasarkan dua buah lagi premis melibatkan premis-premis Consignee,” katanya dalam kenyataan.
Operas itu dilaksanakan dengan kerjasama pasukan petugas phas Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Tambah sumber, siasatan turut mengenal pasti beberapa pegawai penguatkuasa yang disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah melepaskan kontena yang bermasalah.
Pada masa yang sama, katanya SPRM akan merakam keterangan individu-individu daripada consignee dan ejen penghantaran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi berkata, sehingga kini sebanyak 133 akaun individu syarikat telah dibekukan berjumlah kira-kira RM185 juta. – MalaysiaGazette
















