Hannah Yeoh mempengerusikan Mesyuarat Jawatan Kuasa RIBI Wilayah Persekutuan Selasa lepas. Foto FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tidak dibenarkan dibina lagi atau diperluas di atas tanah kerajaan di Wilayah Persekutuan mulai hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang pelanggaran bagi mengelakkan kes pencerobohan baharu serta perluasan struktur sedia ada tanpa kebenaran.

Menurut beliau, perkara telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa RIBI Wilayah Persekutuan yang dipengerusikannya Selasa lepas.

“Semua tindakan akan dilaksanakan secara berhemah dan penuh hormat dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hannah berkata terma rujukan mesyuarat itu turut diperkemas dengan penglibatan Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) bagi memperkukuh proses perbincangan dan penyelesaian.

Bagi menyokong usaha tersebut, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah membangunkan pemetaan RIBI tanpa kebenaran mengikut kawasan Parlimen, dengan sebanyak 163 struktur dikenal pasti setakat ini di atas tanah kerajaan.

Selain itu, Hannah berkata mesyuarat juga bersetuju untuk mewujudkan 11 jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimens di kawasan masing-masing bagi mengetuai perbincangan bersama pihak berkepentingan, termasuk MCCBCHST.

Dalam masa sama, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperhalusi garis panduan pengurusan RIBI bagi memastikan pendekatan yang lebih selaras dan teratur di seluruh negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast