BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama ibunya serta dua kanak-kanak lain terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Song Ban Kheng di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Senior Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 pagi apabila motosikal yang ditunggang wanita tempatan berusia 30 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar tembok di bahu jalan.
“Impak kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.
“Sementara itu, kanak-kanak berumur tujuh tahun mengalami kecederaan ringan dan kanak-kanak berumur lima tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan, khususnya melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Terdahulu tular rakaman video dan beberapa keping gambar di media sosial berhubung kejadian kemalangan itu dengan dakwaan wanita berkenaan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah. – MalaysiaGazette
















