Bawa masuk produk pertanian tanpa dokumen sah bernilai RM1,600 berjaya dipatahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Cubaan membawa masuk produk pertanian tanpa dokumen sah bernilai RM1,600 berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi Khamis.

Komander AKPS KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, kegiatan itu dikesan AKPS KLIA dengan kerjasama Malaysia Border Guard (MBG) menerusi pemeriksaan sekitar jam 1 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas dua bagasi milik seorang penumpang warga asing yang tiba dari China, pihak berkuasa menemui pelbagai pertanian yang tidak mematuhi syarat pengimportan.

“Antara barangan yang dirampas adalah daging itik sejuk beku, ayam bulat dan daging babi tanpa Permit Import MAQIS serta Sijil Kesihatan Veterinar daripada negara pengeksport.

“Ia melibatkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,600 dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kejayaan itu membuktikan keberkesanan penglibatan MBG dalam memperkukuh keupayaan operasi AKPS, khususnya dalam aspek pemeriksaan, risikan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.

“Sinergi antara pegawai AKPS dan anggota MBG telah meningkatkan kecekapan tindakan serta keberkesanan pengesanan terhadap cubaan pelanggaran undang-undang.

“AKPS akan terus memperkasa kerjasama strategik bagi memastikan kawalan sempadan negara sentiasa di tahap optimum serta keselamatan biosekuriti negara terus terpelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast