JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wanita yang membuat dakwaan pegawainya mencuri wang dan disimpan di Afrika atas arahannya perlu dibuktikan.
Menurutnya, beliau tidak akan melayan dakwaan tidak berasas yang tular dalam media sosial kononnya melibatkan pemilikan wang di luar negara.
“Kalau dia ada alasan dia kena ada bukti. You layan itu? You layan? Kalau 1,000 komen saya kena jawab semua? Kalau ada bukti bawalah.
“Kalau tidak ini jadi sarang fitnah dan sebagainya. Saya ada banyak kerja. Mak cik mana bagi komen you nak layan,” katanya ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temonggong Ibrahim di sini hari ini.
Sebelum itu Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat satu rakaman tular mengandungi dakwaan serius oleh individu dikenali sebagai Sofia Rini membabitkan dakwaan salah laku melibatkan bekas pegawai Perdana Menteri.
Menurut beliau, video berkenaan mengandungi beberapa dakwaan utama termasuk tuduhan wang yang didakwa dicuri bekas pegawai berkenaan telah dibawa ke Afrika untuk disimpan selain dakwaan bahawa tindakan itu dilakukan atas arahan Perdana Menteri sendiri.
Tambahnya, Sofia juga mendakwa Perdana Menteri akan melarikan diri ke Afrika atau Turki sekiranya berlaku sesuatu dalam negara serta mendakwa bekas pegawai yang dinamakan mempunyai kekayaan mencecah berbilion ringgit.- MalaysiaGazette
















