Lokasi kejadian berhampiran Pusat Latihan Pelayaran Balok, Kuantan

KUANTAN – Tujuh remaja termasuk seorang mangsa lemas dalam kejadian di Pantai Balok di sini baru-baru ini bukan merupakan atlet pelayaran dan tidak pernah tersenarai di bawah Majlis Sukan Pahang (MSP).

Salah seorang jurulatih pelayaran MSP yang enggan dikenali hari ini tampil menjelaskan perkara itu selepas mendapati terdapat dakwaan bahawa para pelajar lelaki berkenaan terlibat dengan program di Pusat Latihan Pelayaran Balok ketika kejadian tersebut.

“Penduduk kampung ada menyalahkan kami jurulatih  kerana kecuaian yang menyebabkan kejadian itu. Ada juga pengguna media sosial yang mengecam kami kerana kejadian ini.

“Kita pun kesal dengan kejadian yang berlaku. Cuma saya nak perjelaskan dakwaan sesetengah pihak, mereka ini tiada kaitan dengan pasukan atlet perahu layar di bawah MSP dan tiada program bersama kami pada hari kejadian,” jelasnya.

Sebagai rekod, seorang pelajar berusia 16 tahun bernama Muhammad Luqman Kamil Jamaluddin ditemukan meninggal dunia akibat lemas pada 18 April lepas selepas dihanyutkan arus ketika cuba menyeberangi muara Sungai Balok ketika air pasang.

Enam lagi remaja lelaki bersamanya yang merupakan rakan dari asrama sekolah yang sama dengan mangsa bagaimanapun dilaporkan terselamat.

Menurut jurulatih tersebut, dia hanya menyedari kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.50 petang setelah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas di pusat tersebut.

Tanpa berlengah, dia terus bertanya kepada seorang lelaki dewasa yang dikatakan bersama dengan kumpulan remaja itu jika betul terdapat kejadian lemas.

“Pada awalnya, dia yang ketika itu kelihatan dalam keadaan panik beritahu saya, ada tiga individu mungkin lemas. Saya nak dapatkan kepastian, saya teruskan meniti batu-batu pemecah ombak kira-kira jarak 100 meter daripada pusat ini dan mendapati hanya enam remaja itu berada di lokasi terbabit.

“Tapi mereka beritahu saya, mereka datang bertujuh bersama lelaki dewasa itu yang dikatakan memandu sebuah pacuan empat roda jenis single cab,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pelayaran Balok hari ini.

Menyedari salah seorang daripada remaja itu tidak dapat dikesan, dia terus menghubungi pihak bomba selain meminta bantuan para nelayan berhampiran muara sungai itu untuk membantu mencari mangsa.

Katanya, ketika itu juga terdapat ramai pengunjung yang berada di pantai terbabit sedang melakukan aktviti mencari kepah.

“Kebetulan memang kami ada latihan atlet perahu layar ketika itu dan dua lagi jurulatih yang baru pulang dari latihan di tengah laut turut membantu mencari mangsa,” katanya.

Tambah jurulatih itu lagi, ketika itu air sedang pasang dengan arus yang deras mengakibatkan proses mencari mangsa sukar dilakukan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Remaja Cari Kepah Di Pantai Balok Dikhuatiri Lemas #MGFlash

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast