Foto: FB Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru sekalian rakyat negeri itu agar memahami dan menghayati initi pati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid seluruh Negeri Selangor hari ini.

Mimbar Jumaat itu membicarakan khutbah yang bertajuk `Tunaikan Zakat Kepada Amil Bertauliah’.

Menerusi hantaran di Selangor Royal Office, baginda senada dengan inti pati khutbah susulan isu yang hangat diperkatakan mutakhir ini berkaitan dengan zakat.

“Baginda mahu kita sama-sama mengambil iktibar dan menginsafi bahawa zakat merupakan ibadah yang melibatkan harta serta mempunyai peranan yang besar dalam membantu golongan asnaf dan memakmurkan ekonomi umat Islam.

“Baginda menggesa agar semua umat Islam memahami kepentingan menunaikan zakat melalui saluran yang sah dan pengagihan secara telus kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya,” demikian menurut hantaran itu.

Di Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mewakilkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menguruskan semua yang berkaitan dengan kutipan dan agihan zakat.

Setiap negeri mempunyai sistem pungutan dan agihan tersendiri bagi memastikan kebajikan asnaf diurus dengan teratur.

Oleh itu, mana-mana pihak dari luar tidak sepatutnya melangkaui sempadan negeri untuk membuat kutipan zakat tanpa kebenaran pihak berkuasa mana-mana negeri lain.

“Baginda mengingatkan sekali lagi bahawa zakat yang dikutip dalam sebuah negeri hendaklah diagihkan kepada asnaf dalam negeri tersebut.

“Baginda mengingatkan juga bahawa sebagai umat Islam, kita mempunyai peranan yang besar untuk mempertahankan hak asnaf daripada “dicuri” oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jangan berdiam diri dan menyembunyikan perkara salah yang berlaku, bimbang kita tergolong dalam golongan yang membantu kemungkaran kerana menzalimi dan menafikan hak asnaf.

“Umat Islam perlu memahami bahawa bukan sahaja zakat, bahkan apa-apa bentuk kutipan dana awam yang melibatkan kepentingan umat Islam di Negeri Selangor hendaklah mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti,” demikian menurut hantaran itu. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast