KUALA LUMPUR – Stesen penyiaran islam utama, TV Al Hijrah terus berperanan membawa rangkaian kandungan khas sempena musim Haji dan Aidiladha 1447H yang telah disusun bermula April hingga penghujung Mei ini dengan tema “Arafah: Puncak Munajat & Harapan”.
Ia merupakan satu tema yang bukan sekadar indah pada ungkapan, tetapi sarat dengan makna mendalam tentang taubat, pengharapan dan penyerahan diri kepada Allah SWT.
Pengumuman rasmi rangkaian program berkenaan telah berlangsung dalam suasana penuh meriah di Saloma Kuala Lumpur, yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Sebagai pembuka tirai, program Interaktif Haji yang sudah mula bersiaran sejak 20 April lalu setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam.
Program itu memberi ruang kepada masyarakat memahami ibadah haji secara jelas dan praktikal bersama para asatizah, selain membuka peluang kepada penonton bertanya soalan secara langsung melalui media sosial.

Mulai 30 April pula, TV AlHijrah membawakan Kisah Mutawif, sebuah rancangan yang menampilkan sisi insan-insan yang sering bekerja di belakang tabir musim haji.
Mereka bukan sekadar pembimbing perjalanan, tetapi peneman ketika penat, penenang ketika cemas, dan pembantu ketika jemaah mencari arah di bumi asing.
Bermula 11 Mei, siaran akan diperkukuh dengan Diari Labbaikallah, kapsul harian dari Makkah yang membawa perkembangan semasa jemaah Malaysia, suasana ibadah, cabaran harian serta detik-detik penting sepanjang musim haji.
Kemuncak siaran musim haji pastinya pada 26 Mei menerusi Munajat Arafah jam 5 petang yang akan menampilkan tausiyah, zikir, munajat dan alunan ayat suci al-Quran dalam suasana penuh keinsafan.
Pada hari yang sama, TV AlHijrah turut menyiarkan secara langsung Khutbah Arafah 2026 kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui platform digital rasmi stesen itu sekitar jam 7 petang waktu Malaysia.
Menjelang Aidiladha, perjalanan rohani itu diteruskan dengan Peristiwa Hari Tasyrik pada 28, 29 dan 30 Mei jam 9 malam.
Program khas ini akan mengupas hikmah hari Tasyrik yang sering dipandang biasa, sedangkan ia sebenarnya hari-hari untuk memperbanyakkan zikir, mensyukuri nikmat dan mengingati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS serta Nabi Ismail AS.
Sepanjang musim haji juga, rancangan pagi Assalamualaikum akan terus menampilkan segmen khas haji setiap hari jam 7 pagi, manakala Berita AlHijrah membawakan laporan harian Haji 1447H pada jam 8 malam berdasarkan sumber sahih termasuk daripada Lembaga Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi.
Secara keseluruhannya, TV AlHijrah tahun ini tidak sekadar menyusun jadual siaran bermusim, tetapi sedang membina jambatan rohani antara Malaysia dan Tanah Suci.
Ia membawa rindu mereka yang pernah ke sana, menyuburkan harapan mereka yang belum dipanggil, dan menghidupkan rasa syukur mereka yang sedang menunggu giliran.
Ketika jutaan manusia melafazkan Labbaikallahumma Labbaik, TV AlHijrah berusaha memastikan gema seruan itu turut sampai ke setiap ruang tamu di negara ini.
Ini kerana haji bukan hanya perjalanan menuju Kaabah, tetapi perjalanan jiwa kembali kepada Tuhan. – MalaysiaGazette
















