Mazlan Muhammad menunjukkan lubang mendapan akibat kegagalan sistem perparitan yang lalu di bawah tanah miliknya di Kampung Sungai Karang Pantai, Kuantan.

KUANTAN – Seorang warga emas menyuarakan kebimbangan terhadap kejadian mendapan dan hakisan tanah yang berisiko semakin memburuk di kawasan rumahnya di Kampung Sungai Karang Pantai, di sini.

Ketika ditemui, Mazlan Muhammad, 71, berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat sistem perparitan lama di bawah tanah di kawasan tanah miliknya itu yang tidak mampu lagi menampung aliran air.

Katanya, ia berikutan pertambahan rumah dan penduduk di kawasan berhampiran yang menggunakan struktur sistem perparitan kecil yang sama sejak 1970-an.

“Air yang mengalir ini termasuk air kumbahan dan sampah-sarap serta buangan lain seperti bantal, tilam, plastik dan sebagainya di bawah tanah dalam kawasan tanah saya.

“Apabila pertambahan kapasiti air, calvert tu dah pecah dah tak boleh nak tampung, jadi air itu hakis sikit-sikit di bawah tanah ni, lalu terjadi mendapan dan hakisan.

“Saya risau sebab kalau lama-lama dibiarkan, jalan utama itu pula boleh runtuh dan terputus nanti. Kalau berlaku, kami terpaksa menggunakan laluan lama yang lebih jauh,” luahnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mazlan Muhammad

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi juga mendapati, terdapat dua lubang mendapan di kawasan aliran air di bawah tanah di kawasan tersebut.

Menurut Mazlan yang juga pesara, dia menyedari lubang mendapan itu wujud kira-kira sebulan yang lalu selepas penyewa di tanah berkenaan berhenti berniaga di kawasan tersebut.

“Saya sudah buat aduan kepada beberapa pihak yang berwajib. Tapi, setakat ini masih tiada perkembangan. Lebih merisaukan, mereka kata proses agak sukar kerana sistem perparitan ini berada di atas tanah persendirian.

“Padahal sistem perparitan ini dibuat sudah lama ketika saya masih kecil. Saya perhatikan, perumahan semakin bertambah, tapi sistem perparitan tiada penambahbaikan,” katanya.

Mazlan Muhammad menunjukkan longkang pecah di kawasan tanah miliknya kerana aliran air bertambah

Sementara itu, Mazlan memberitahu, perkara itu telah diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu.

Menurut Andansura, beliau sudah melakukan tinjauan di lokasi terbabit dan mengesahkan sistem longkang lama tersebut turut merentasi tanah milik penduduk lain dan terdapat struktur pembentung yang telah pecah menyebabkan aliran air tidak lagi mengikut laluan asal.

“Keadaan itu menyebabkan aliran air tidak lagi melalui laluan sepatutnya, sebaliknya mengalir terus ke dalam tanah penduduk hingga mengakibatkan hakisan yang serius.

“Kita sudah mengemukakan surat kepada Pejabat Daerah selain menyalin aduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memberitahu, satu penyelesaian menyeluruh perlu diambil supaya sistem saliran, sama ada semula jadi atau buatan, dapat diurus dengan lebih sistematik tanpa menjejaskan hak milik individu.

“Perlu ada perbincangan dengan pemilik tanah supaya laluan air dapat diuruskan dengan baik.

“Kita mahu pihak berkaitan menilai semula keseluruhan sistem saliran di sini bagi mengelakkan masalah ini menjadi lebih parah di masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast