KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa parti itu difitnah menerusi hantaran di Facebook.
Timbalan Pengerusi Amanah WP, Hayatul Kamil Termudi berkata, dakwaan yang bertebaran di media sosial tersebut cuba mengaitkan parti itu dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru-baru ini dikaitkan dengan kes seleweng dana zakat.
Selain menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap dua pengguna akaun Facebook iaitu Siti Aminah dan Laudya Amanda, Hayatul turut menggesa supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan perkongsian yang dimuat turun pada 23 April, lalu.
“Ini fitnah dan kita menolak (dakwaan ini), kita juga membantahnya. Kita harap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil Tindakan kerana kesannya berat kepada Amanah.
“Sebab kita merupakan organisasi yang ada beratus ribu ahli dan kini dituduh terlibat dengan seleweng wang zakat,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir bersama, Biro Komunikasi Amanah WP, Razali Zakaria yang membuat laporan polis di Balai Polis Chow Kit hari ini.
Kemudian, Hayatul, Razali dan beberapa ahli Amanah hadir di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk sidang media.
Dalam masa yang sama, Razali memaklumkan ahli-ahli Amanah hari ini membuat laporan polis yang sama di seluruh negara.
“Beberapa fitnah mengaitkan amanah dengan kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dana zakat bernilai RM230 juta membabitkan NGO Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Ini satu pembohongan fitnah dan hasutan yang telah viral di media sosial.
“Kalau ia diteruskan, boleh dianggap betul kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan Amanah,” tambah beliau.
Semalam, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, hantaran di media sosial berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah disifatkan sebagai fitnah dan cubaan menghasut rakyat, khususnya orang Melayu untuk membenci parti itu.
Tegasnya, siasatan yang sedang dijalankan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
Sebagai rekod, baru-baru ini SPRM menahan beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Susulan itu, IKRAM dilaporkan merehatkan serta-merta ahlinya yang terlibat dalam siasatan berkenaan.- MalaysiaGazette
















