Anthony Loke pada majlis ulang tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

BATU KAWAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip sebanyak RM21.68 juta hasil bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri P_P yang dibuka kepada umum selama lima hari sejak Isnin lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lima nombor antara yang mencatat nilai tertinggi dalam siri berkenaan ialah “P1P” sebanyak RM1.1 juta, diikuti “P9P” (RM1,000,777), “P8P” (RM613,000), “P6P” (RM600,777) dan “P2P” (RM512,000).

Jelas beliau, tiada nombor disimpan atau disekat, selaras komitmen kerajaan terhadap ketelusan dalam sistem bidaan.

“Jumlah keseluruhan kutipan itu merangkumi RM19.19 juta daripada hasil bidaan, manakala RM2.48 juta lagi diperoleh melalui caj perkhidmatan, menjadikan keseluruhan RM21.68 juta.

“Seramai 19,370 pembida menyertai proses ini dan sebanyak 5,973 nombor berjaya dimenangi. Baki 4,026 nombor akan dibuka kepada orang awam selepas tempoh bidaan ditutup.

“Antara nombor yang menerima persaingan tertinggi termasuk “P1177P” dengan 26 pembida, diikuti “P313P” dan “P22P” masing-masing 24 pembida, serta “P411P” dan “P888P” dengan 22 pembida, katanya pada majlis sambutan ulang tahun JPJ ke-80 di sini, hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan sistem JPJeBid membuktikan keberkesanan pendigitalan dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan, selain mengurangkan ketirisan serta mempercepatkan urusan seperti pemulangan bayaran kepada pembida yang gagal.

Katanya, hasil kutipan tersebut disalurkan semula untuk program berfokuskan rakyat, termasuk bantuan keselamatan jalan raya.

“Ini antara usaha menambah hasil kerajaan yang akhirnya kembali kepada rakyat, sama ada melalui program seperti pemberian topi keledar percuma atau bantuan lesen memandu kepada golongan muda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast