KUALA LUMPUR – PKR mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar yang lantang mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung isu cadangan penternakan babi moden.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad hairan apabila Sukri didakwa berdiam diri ketika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berdepan kontroversi berkaitan Sultan Selangor sebelum ini.
“Suara Sukri dan golongan pemudanya terus bungkam, menikus dan seolah-olah penghinaan itu bukan satu penderhakaan.
“Sultan Selangor ketika itu amat murka sehingga Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan krisis berlarutan sehingga Menteri Besar Kedah memohon ampun dan dilepaskan pada 2024.
“Adakah Sukri koma otak waktu itu sehingga hilang segala kependekaran dan kepandiran beliau hanya kerana penghinaan tersebut dilakukan oleh pemimpin mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Siew Ki berkata, cadangan itu mengambilkira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Saifuddin juga berkata, tindakan Pemuda Pas Selangor itu membuktikan mereka sering kehabisan idea untuk menyerang Kerajaan Negeri Selangor yang menunjukkan prestasi baik berbanding negeri diterajui parti Islam itu.
“Namun kali ini Pemuda Pas Selangor lain pula pencaknya, mereka segera bangun berpolemik dan berpolitik. Sehingga siang tadi tidak kurang 10 laporan polis telah dibuat dan mereka mendesak Yang Berhormat Siew Ki ditangkap.
“Tidakkah Yang Berhormat Siew Ki hanya menggunakan ruangnya dengan penuh hormat sebagai ADUN dalam Sidang Dewan Negeri yang jelas fungsi keberadaannya?” soalnya.
Katanya lagi, serangan ke atas ADUN DAP itu berbanding membiarkan penderhakaan Menteri Besar Kedah terhadap Sultan Selangor hanya menunjukkan parti Islam itu lebih gemar menunggang sentimen dan perkauman sebagai modal politik murahan.
“Akhirnya berapa banyak peluang membahaskan perkara penting untuk kebajikan rakyat terlepas begitu sahaja, kerana kita sering tersepit dalam perlumbaan menunjukkan siapa yang setia dan siapa derhaka pada konteks salah?
“Paling rugi rakyat yang mengharapkan ahli politik meletakkan pertimbangan wajar dan memberikan keutamaan terutama ketika dunia berdepan krisis tenaga terburuk dalam beberapa dekad.
“Ia kemudian akan menjerumuskan kita dalam kemelesetan ekonomi yang lebih menekan sedikit masa lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















