KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman mesti berani memulakan siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki sebaik sahaja Azam melangkah keluar dari pejabat.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, terlalu banyak tuduhan terhadap Azam belum terjawab dan sekiranya terbukti ada kesalahan, maka tindakan tegas perlu diambil.
Menurutnya, jika tiada kesalahan, maka ia akan membersihkan nama SPRM dan nama Azam sendiri.
“Yang penting Azam Baki mesti disiasat terlebih dahulu dengan telus dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful menyifatkan keputusan menghentikan pola yang dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyambung kontrak Azam berkali-kali adalah langkah yang bijaksana Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurutnya, ia juga melambangkan betapa Seri Paduka Baginda amat cakna dengan sentimen rakyat jelata yang semakin lantang memprotes secara terbuka, termasuk melalui demonstrasi petang tadi.
Sehubungan itu, beliau berharap Abdul Halim kelak akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada SPRM, termasuk dengan cara menghentikan penyalahgunaan kuasa SPRM terhadap musuh politik, mengenal pasti dan menghentikan siasatan dan pendakwaan jika ada yang dicemari motif politik, dan membersihkan nama SPRM dari segala tuduhan berkait mafia korporat.
Pada masa sama, ujarnya, kerajaan juga harus meneliti dengan segera proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Sejak sekian lama, tambah beliau, masyarakat sivil mendesak supaya pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti melibatkan suara rakyat melalui wakil-wakil rakyat di Parlimen, dan bukan berdasarkan cadangan Perdana Menteri sahaja.
“Kerajaan harus segera akur dengan titah DYMM Tuanku Agong supaya pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dipolitikkan.
“Selagi mana kita tidak menginstitusikan proses baharu yang melibatkan suara rakyat melalui wakil yang telah dipilih oleh rakyat ke Parlimen, selagi itulah risiko campur tangan politik yang ditegah oleh Tuanku Agong tidak akan dapat kita elakkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















