KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu hadir dengan harapan besar bukan sekadar meneruskan peranan, tetapi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berwibawa.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggungjawab itu menuntut keberanian moral yang tinggi untuk bertindak tanpa gentar, tanpa pilih kasih, dan tanpa tunduk kepada sebarang tekanan politik atau kepentingan tertentu.
Menurut beliau, SPRM tidak boleh sama sekali dilihat, apatah lagi dijadikan alat mana-mana pihak.
“Rakyat sedang memerhati. Mereka mahukan sebuah SPRM yang tegas, telus, dan konsisten yang bertindak berlandaskan undang-undang, menjunjung keadilan, dan tidak berkompromi dalam memerangi rasuah di semua peringkat.
“Inilah masanya untuk membuktikan bahawa SPRM benar-benar bebas bukan hanya pada nama, tetapi pada tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Abdul Halim yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Ketua Pengarah SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei depan.
Menurut Shamsul Azri, pelantikan berkenaan selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM atau Akta 694 dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Abdul Halim akan menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tempoh perkhidmatannya akan tamat pada 12 Mei depan. – MalaysiaGazette
















