Foto: FB Malaysian Football League

KUALA LUMPUR – Kelincahan penyerang berbisa Imigresen FC Wilmar Jordan Gil yang meledak hatrik menjadi watak utama dalam kemenangan besar 5-0 ke atas PDRM FC pada saingan Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

Imigresen FC membuka pesta gol seawal minit keenam menerusi tandukan Wilmar Jordan Gil hasil hantaran tepat Eduardo Jose Sosa Vegas untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan.

Eduardo Jose Sosa Vegas kemudian melebarkan kedudukan pada minit ke-37 apabila melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang dari jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol PDRM FC.

Foto: FB Malaysian Football League

Menjelang tamat babak pertama, Wilmar Jordan Gil terus mencuri tumpuan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-45 hasil gerakan kemas Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dan lorongan bijak Eduardo Jose Sosa Vegas.

Bersambung babak kedua, perlawanan berlangsung lebih sengit dengan aksi fizikal, namun percubaan PDRM FC untuk bangkit kerap dipatahkan benteng pertahanan Imigresen FC yang kental.

Kelekaan benteng pelawat sekali lagi dihukum apabila Elvis Kamsoba menambah gol keempat pada minit ke-70 selepas menyudahkan hantaran Mohammad Fayadh untuk menewaskan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Wilmar Jordan Gil kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti, sekali gus memastikan kemenangan mutlak dan penuh dominasi berpihak kepada Imigresen FC. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast