KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dalang di sebalik insiden kekecohan dalam Himpunan Tangkap Azam Baki susulan kejadian letupan mercun di luar pekarangan pusat beli-belah Sogo, kira-kira pukul 3.36 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, bagaimanapun insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap peserta yang hadir.
“Himpunan berjalan dengan aman, cuma di kompleks beli-belah Sogo ada sedikit kekecohan di mana ada pembakaran mercun. Namun, tiada melibatkan kecederaan individu atau bencana kepada premis-premis.
“Namun, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Siasatan kita akan lengkapkan dengan terperinci dan kita akan cuba mengesan dan mencari bukti dalang di sebalik pembakaran mercun itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Sazalee juga mengesahkan himpunan aman itu dihadiri kira-kira 300 peserta yang berkumpul di kompleks beli-belah Sogo dan kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka sejauh kira-kira 850 meter.
“Bagaimanapun 300 peserta himpunan hanya dibenarkan berarak sehingga persimpangan Jalan Tun Perak yang berhampiran dengan Dataran Merdeka,” katanya.
Menurut Sazalee, seramai 200 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi serta dibantu daripada Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur memantau perhimpunan itu.
Ketika ditanya tentang dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya letupan mercun itu merupakan sabotaj, Sazalee bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara tersebut.
“Itu kita tak dapat pastikan, kita akan siasat, kita cuba timbulkan seberapa banyak bukti yang ada, kita akan kesan siapa yang bekalkan bunga api tersebut,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk memanggil penganjur Himpunan Turun Azam Baki bagi membantu siasatan insiden letupan mercun tersebut.
“Untuk kita nak lengkapkan siasatan, semua pihak kita akan panggil yang bersangkut-paut dengan himpunan ini dan saksi-saksi bebas yang nampak kejadian pembakaran mercun tadi,” katanya.
Beliau turut menggesa mana-mana saksi untuk tampil membantu siasatan sekiranya melihat mana-mana individu yang membawa mercun itu.
“Jika ada mana-mana saksi bebas yang melihat siapa yang bekalkan mercun itu boleh tampil untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















