KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan PKR, Datuk Rafizi Ramli mendedahkan terdapat cubaan menyeludup plakad propaganda dalam himpunan `Tangkap Azam Baki’ akan diadakan petang ini.
Katanya, plakad berkenaan mendakwa kononnya demonstrasi petang ini mempunyai kepentingan peribadi untuk beliau menjadi Perdana Menteri.
Tegasnya, perhimpunan pada hari ini tiada kaitan dengan agenda politik sebaliknya suara segelintir rakyat yang mahukan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik.
“Perhimpunan hari ini tidak ada agenda politik. Bukan untuk sesiapa atau mana-mana parti politik. Ia hanya luahan segelintir rakyat yang kecil, yang mahu Malaysia lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Rafizi turut meminta orang ramai yang hadir supaya menasihati pihak yang membawa plakad berunsur propaganda agar menurunkannya secara baik.
“Hahaha kreatif mereka ni. Lain kali cari gambar yang terkini dan lebih kurus. Petang ini, kalau nampak plakad plakad propaganda macam ini, tolong nasihat baik-baik minta turunkan,” katanya.
Terdahulu, Himpunan Tangkap Azam Baki yang dijangka berlangsung petang ini adalah manifestasi desakan terhadap ketelusan badan penguatkuasaan serta integriti sistem pentadbiran negara.
Hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. menerusi kenyataan mengesahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Katanya, pelantikan itu berkuatkuasa 13 Mei 2026.-MalaysiaGazette
















